Want create site? Find Free WordPress Themes and plugins.

 

GARIS PANDUAN KAEDAH PENYEMAKAN DAN PENILAIAN TEKS AL-QUR’AN

AMALAN AHLI LAJNAH TASHEH AL-QURAN

KEMENTERIAN DALAM NEGERI 2017

 

1. PENDAHULUAN

 

Kaedah penyemakan dan pentashehan Al-Quran ini disediakan sebagai garis panduan dan contoh bagi pihak Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran, khusus kepada Ahli Jawatankuasa Lajnah Tasheh Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri bagi melaksanakan tugas-tugas penyemakan dan penilaian bahan-bahan berkaitan dengan Al-Quran sama ada dalam bentuk teks atau bahan bercetak dan bahan elektronik.

Selain daripada itu, garis panduan ini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang terlibat dalam penulisan, penyemakan, pencetakan dan penerbitan Al-Quran secara langsung atau tidak langsung. Oleh itu dengan adanya garis panduan ini juga, piawaian dalam penyemakan Al-Quran akan lebih berkualiti, tepat serta lebih dipertanggungjawabkan, di samping menyelaraskan standard penyemakan dalam kalangan Ahli Lajnah Tasheh Al-Quran bagi menentukan tahap kecil atau besarnya sesuatu kesalahan yang dikesan.

Kaedah penyemakan dan pentashehan berpandukan kepada kaedah Rasm, Dhabt, Fawasil, Waqaf Ibtida dan Ulum Quran. Secara umum panduan mushaf yang digunakan adalah berpandukan kepada Mushaf Rasm Uthmani cetakan Mujamma’ al-Malik Fahd, Madinah Al-Munawwarah, Arab Saudi.

 

2. KESALAHAN BESAR

Kesalahan besar ialah kesalahan yang boleh menukar, menggugur atau mengubah struktur ayat, kalimah, huruf dan baris. Ia juga termasuk kesalahan kekaburan sehingga menyebabkan sukar dibaca sesuatu ayat, kalimah, huruf dan baris.

Kesalahan besar ini dapat dikategorikan kepada dua bahagian iaitu pertama kesalahan besar pada bahan bercetak seperti teks dan risalah. Kedua ialah kesalahan besar pada bahan elektronik seperti CD, VCD dan lain-lain peralatan digital.

 

3. KESALAHAN KECIL

Kesalahan kecil ialah kesalahan yang wujud pada ayat, kalimah, huruf dan pada baris yang disebabkan kekotoran atau kekaburan pada struktur ayat, kalimah, huruf, baris Al-Quran tersebut. Walau bagaimanapun ia tidak menjejaskan struktur ayat, kalimah, huruf dan ayat tersebut dan masih boleh dibaca dengan betul.

Kesalahan kecil ini dapat dikategorikan kepada dua bahagian iaitu kesalahan kecil pada bahan bercetak seperti teks dan risalah serta kesalahan kecil pada bahan elektronik seperti CD, VCD dan peralatan digital.

 

4. PIAWAIAN DAN STANDARD SEMAKAN

Dalam membuat penyemakan dan penilaian sesuatu bahan bercetak atau bahan elektronik, pihak Lajnah Tasheh Al-Quran menetapkan tiga standard semakan seperti berikut:

  1. Diterima (Lulus)
  2. Diterima setelah dibuat pembetulan (LDP)
  3. Ditolak

4.1  Diterima

4.1.1.  Mana-mana bahan bercetak atau bahan elektronik yang telah disemak mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan didapati tiada sebarang kesalahan dan kesilapan adalah diterima.

4.2. Diterima setelah dibuat pembetulan (Lulus Dengan Pembetulan)

4.2.1.  Teks dan bahan bercetak yang dikesan mengandungi kesalahan besar tidak melebihi satu (1) kesalahan dalam satu juzu’ atau tiga puluh (30) kesalahan bagi keseluruhan 30 juzu’ Al-Quran.

4.2.2. Teks atau bahan bercetak yang dikesan mengandungi kesalahan kecil, tidak melebih tiga (3) kesalahan dalam satu juzu’ atau sembilan puluh (90) kesalahan bagi keseluruhan 30 juzu’ Al-Quran.

4.2.3. Mana-mana bahan bercetak elektronik yang telah disemak mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan diterima setelah dibuat pembetulan, bahan tersebut hendaklah dikemukakan semula kepada Unit Kawalan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri untuk semakan semula.

4.3. Ditolak

4.3.1. Mana-mana bahan semakan yang mempunyai kesalahan melebihi piawaian dan standard yang ditetapkan (dalam perkara-perkara 4.1 dan 4.2)

4.3.2. Mana-mana bahan elektronik yang telah disemak mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan didapati terdapat kesalahan dan kesilapan yang mengandungi satu kesalahan besar.

4.3.3   Apa-apa bentuk kesalahan kecil atau besar yang tidak dapat perbetulkan.

4.4. Semua keputusan semakan Lajnah dalam perkara 4.1, 4.2 dan 4.3 hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) bagi mendapatkan keputusan.

 

5. PROSEDUR PENYEMAKAN

5.1. Hanya Pruf Akhir sesuatu teks Al-Quran dengan segala sifat dan ceraian-ceraian sahaja yang akan disemak oleh Ahli Lajnah.

5.2. Menggunakan pen mata bola bermutu warna merah atau warna yang mudah untuk dikesan bagi tindakan susulan.

5.3. Membaca sambil menghafaz setiap huruf, titik huruf, kaedah khat, tanda baris dan lain-lain.

5.4. Menandai (Menggaris) di bawah setiap huruf, titik huruf, kaedah khat, tanda baris dan lain-lain.

5.5. Setiap kalimah, huruf, baris atau apa-apa kesilapan yang berlaku diberi tanda (dibulatkan) dan tanda pangkah di bahagian tepi helaian / halaman.

5.6. Catatan kesalahan hendaklah ditulis di bahagian tepi helaian mashaf tersebut.

5.7. Isikan maklumat kesalahan yang dikesan pada borang semakan yang disediakan dengan menyatakan jumlah kesalahan sekiranya ada, jenis kesalahan, nombor muka surat, nombor ayat, nama surah, bentuk kesalahan dan pembetulan.

5.8. Sediakan laporan, buat pembentangan serta perbincangan.

5.9. Buat penilaian dan keputusan sama ada diterima, diterima setelah dibuat pembetulan atau ditolak.

 

6. KAEDAH PENYEMAKAN

6.1. Berkumpulan

Penyemakan akan dilakukan oleh semua Ahli Lajnah di suatu tempat khas, semua laporan, pembentangan, perbincangan dan keputusan akan dibuat secara bersama di dalam mesyuarat.

6.2. Semakan Berganda atau Berselang

Penyemakan dilakukan oleh dua orang pentasheh dalam juzu’ yang sama bagi mengelakkan berlakunya kecuaian dan kesilapan.

6.3. Selaras / Seragam

Ahli-ahli Lajnah diperkasa dan diperkayakan tentang kaedah dan prosedur penyemakan melalui bengkel-bengkel bagi menyelaras dan menyeragamkan teknik dan prosedur penyemakan Al-Quran dan bagaimana menggunakan peralatan elektronik.

 

*************************************************************************************************************************************************************

*************************************************************************************************************************************************************

 

BENTUK-BENTUK KESALAHAN BERDASARKAN KATEGORI

 

  • RASM AL-QURAN
  • Hilang huruf
  • Menjarakkan antara huruf dalam perkataan
  • Terlalu rapat antara huruf dalam perkataan
  • Huruf menyentuh birai al-Quran
  • Huruf kabur tidak jelas
  • Huruf terputus-putus

 

  • DABT AL-QURAN
  • Hilang titik
  • Hilang baris
  • Menjarakkan antara titik dalam perkataan
  • Terlalu rapat antara titik dalam perkataan
  • Titik huruf tidak berada pada tempat sepatutnya
  • Baris huruf tidak berada pada tempat sepatutnya
  • Tiada Syaddah pada basmalah Surah Al-Qadr
  • Tiada Syaddah pada basmalah Surah At-Tin
  • Titik menyentuh birai al-Quran
  • Baris menyentuh birai al-Quran
  • Tiada tanda tashil
  • Salah tanda tashil
  • Tiada tanda isymam dan raum
  • Salah tanda isymam dan raum

 

  • RASM DAN DABT AL-QURAN
  • Hilang kalimah
  • Kotor pada teks ayat al-Quran
  • Kabur pada teks ayat al-Quran
  • Susunan ayat tidak sebaris
  • Tiada basmalah
  • Basmalah diletakkan pada awal surah al-Taubah
  • Menjarakkan antara kalimah dalam ayat

 

  • AL-QIRA’AT
  • Meletakkan Qiraat Syazzah
  • Riwayat yang tidak tepat
  • Berlaku talfiq antara turuq

 

  • AL-FAWASIL
  • Salah nombor ayat
  • Tiada nombor ayat
  • Salah susunan ayat
  • Salah susunan surah
  • Salah meletakkan fasilah diawal ayat
  • Salah nama surah
  • Tiada nama surah

 

  • AL-MAKKI WA AL-MADANI
  • Surah al-Makkiyah ditulis al-Madaniyyah
  • Surah al-Madaniyyah ditulis al-Makkiyah
  • Tidak dinyatakan surah al-Makkiyah
  • Tidak dinyatakan surah al-Madaniyyah

 

  • AL-AJZA’ WA AL-AHZAB
  • Salah nama juzuk
  • Salah susunan juzuk
  • Tiada tanda Hizib
  • Salah nombor hizib

 

  • AL-WAQF
  • Meletakkan Tanda waqf di tengah-tengah kalimah
  • Meletakkan tanda waqf pada fasilah ayat
  • Tiada tanda waqf
  • Meletakkan tanda waqf pada tempat yang dilarang
  • Salah jenis tanda waqf yang digunakan

 

  • AL-IBTIDA’
  • Ibtida’ yang tidak sempurna
  • Ibtida’ yang dilarang

 

  • AL-KHAT
  • Kesesuaian bentuk khat tidak tepat
  • Kesinambungan khat tidak tepat

 

  • AL-HARF
  • Huruf-huruf yang digunakan tidak menepati mushaf al-uthmani

 

  • AL-SAJADAT
  • Tiada tanda ayat sajadah dibirai
  • Tiada garis ayat sajadah
  • Garis di bawah kalimah sajadah
  • Salah kalimah yang digariskan

 

  • PEWARNAAN TAJWID
  • Tidak mengikut spesifikasi tajwid berwarna yang ditetapkan
  • Warna terlalu kabur
  • Pewarnaan pada tanda waqf yang telah sedia ada
  • Pewarnaan yang tidak dibenarkan

 

  • AUDIO
  • Gangguan audio tidak jelas
  • Potongan ayat yang sama diulang dua kali
  • Sebutan kalimah tidak sempurna

 

  • TEKNIKAL
  • Salah nombor pada muka surat
  • Saiz tulisan yang tidak dibenarkan
  • Tidak mengikut Spesifikasi Mushaf Mujamma’ Malik Fahd

 

 

Did you find apk for android? You can find new Free Android Games and apps.

1 Comment

Leave a Reply